Sunday, 22 September 2019

Hari Pertama Kami Di Bandaraya Melaka Bersejarah


 
HARI PERTAMA KAMI DI MELAKA (30 Ogos 2019)
 
Alhamdulillah....rezeki kami kali ini dapat bertandang ke negeri Melaka iaitu Bandaraya Melaka Bersejarah selama 3 hari 2 malam iaitu dari 29 hingga 31 Ogos dan 1 September 2019
 
Kami bergerak ke Melaka pada malam 29 Ogos iaitu lebih kurang pukul 11 malam. Kami sampai di Melaka lebih kurang pukul 5.30 pagi macam tu...kami berhenti rehat sekejap dan terus solat subuh di sebuah masjid (tak sempat nak tengok nama masjid yang kami singgah)
 
Seusai sahaja solat subuh kami terus masuk ke Bandaraya Melaka. Waktu pagi jalan nak masuk ke bandar agak sibuk sebab 30 Ogos hari Jumaat orang Melaka masih bekerja dan bersekolah. Jadi...boleh nampak kesibukan masing-masing yang mana nak pergi sekolah yang mana nak pergi kerja. Kami agak kepenatan dan bercampur dengan perut yang lapar. Kami ambil keputusan untuk cari tempat makan dan rehat dulu.
 
******************************
 
Jadi...kami singgah minum pagi di sini.... 
 
ROTI CANAI KAYU ARANG

Bagi saya roti canai sama saja sepertimana roti canai yang lain cumanya yang menjadi viral kat sini sebab roti canai ini dimasak dan dicanai atas api kayu arang.
 

Anak panah yang menunjukkan arah kedai makan Roti Canai Kayu Arang



Kedai kat sini memang tak gunakan gas memasak pun, hanya menggunakan arang sahaja untuk membakar roti canai.


Kedai makan ni memang ramai peminatnya...kami datang kat sini dah awal dalam pukul 8.30 camtu tapi tempat duduk...fuhhh..penuh. Nasib ada meja yang ni...kalau tak memang terpaksa menunggu lah jawabnya.


Ini menu yang saya makan...sedap rotinya lembut dan garing...nyum..nyummm. Bab kuahnya bagi saya agak pedas sikit dari yang biasa saya makan di terengganu tapi sedap. Puas hati makan...alhamdulillah. Menu makanan kat sini pun banyak jugak. Mungkin sebab pilihan banyak orang ramai datang makan kat sini. 

******************************

Ok...next destinasi kami masuk semula ke Bandaraya Melaka Bersejarah.



Alhamdulillah....rezeki kami di tahun 2019 dapat jalan-jalan bawa family ke Melaka


Lakaran gambar ni menceritakan sejarah nama Melaka. Nak ke saya cerita kat sini? 

Okay..saya kongsi dari sumber Sejarah Melayu 

● Asal usul nama Melaka berkait rapat dengan pelanduk dan pokok Melaka.
● Menurut Sejarah Melayu, semasa Parameswara sedang berehat di bawah pokok Melaka, Parameswara telah melihat peristiwa pelanduk menendang anjing perburuannya.
● Peristiwa itu dianggap luar biasa kerana pelanduk yang kecil dapat mengalahkan anjing.
● Oleh itu, Parameswara memilih tempat tersebut untuk mendirikan kerajaan.
● Parameswara menamakan tempat tersebut sebagai Melaka sempena nama pokok Melaka tempat beliau berehat.

Ini pula dari sumber Istilah Arab

● Melaka telah lama menjadi tumpuan pedagang-pedagang Arab.
● Pedagang-pedagang Arab telah memanggil Melaka dengan beberapa istilah :
* Mulaqah bermaksud "pertemuan".
* Malakat bermaksud "perhimpunan segala dagang".
● Istilah-istilah tersebut sememangnya sesuai memandangkan kemajuan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang dikunjungi oleh saudagar daripada pelbagai negara.

******************************

BASTION MIDDLEBURG

Gambar yang saya tunjuk di bawah ini ialah menara kawalan yang dibina oleh pihak Belanda bagi mengawal persekitaran muara Sungai Melaka yang sibuk dengan aktiviti perkapalan dan perdagangan pada ketika itu yang dibina pada tahun 1660.

Terdapat 9 buah bastion yang dibina sebagai menara kawalan di Kota Melaka ini. 

Dengan adanya 9 bastion ini yang menempatkan meriam-meriam dengan kawalan tentera mampu melemahkan ancaman luar yang semakin bertambah dari semasa ke semasa pada ketika itu.


Bastion Middleburg dari pandangan bawah. Betul-betul di hadapan Muara Sungai Melaka.



Sempat juga kami bergambar kenangan dari atas Bastion Middleburg.

******************************

Seterusnya kami ke.....

MENARA JAM TAN BENG SWEE


Ini dia Menara Jam Tan Beng Swee yang dibina di bangunan  Stadhuys pada tahun 1886 oleh Tan Jiak Kim yang berasal dari Singapura sebagai kenangan kepada ayahnya yang bernama Tan Beng Swee. 


Bersebelahan atau berhadapan Menara Jam Tan Beng Swee terdapat Air Pancut Ratu Victoria yang dibina pada tahun 1904 kononnya sebagai persembahan rakyat Melaka kepada Ratu Victoria Regina yang memerintah pada 1837 - 1901


Eih..eihhh...ada patung emas hidup lah kat depan Air Pancut Ratu Victoria...heheee. Patung emas hidup ni hanya gimik dan nak meriahkan lagi suasana kat negeri Melaka ni. Nak bergambar dengan dia bayar lah seikhlas hati. Boleh buat kenang-kenangan...heheheee.


Haaaa...tengok ni. Alang-alang dah datang tu ambillah gambar kan. Bukannya susah pun. Camera phone kan ada....just snap pic aje leee...tp bayar okay...hahaa.

******************************

Okay...next kami ke...

BANGUNAN STADTHUYS


Anda nampak kan bersebelahan Menara Jam Tan Beng Swee ada bangunan yang tertera nama Stadthuys kan? 

Sebenarnya STADTHUYS ini adalah dari bahasa Belanda yang bermaksud "dewan bandaraya". Bangunan ini bersebelahan dengan Gereja Christ di Jalan Laksamana dan dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor. Struktur bangunan ini juga melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus.

The Stadthuys adalah sebuah kompleks besar-besaran. Dalam bangunan ini mempunyai 2 tingkat dan ia adalah 30 meter lebar. Selain menjadi rumah gabenor, Stadthuys juga termasuk Pejabat Setiausaha-kanak, bilik sembahyang, ruang makan, sebuah rumah tetamu, rumah hamba, rumah Ketua Merchant, penjara, pejabat perdagangan, gudang, halaman dan bakeri yang terpisah atau dipisahkan.



Di bahagian luar, terdapat langkan batu yang membawa kepada dwi tangga seterusnya ke balkoni kecil yang juga boleh diakses melalui pintu di tingkat pertama.

Semasa pemerintahan Belanda di Melaka, Stadthuys, seperti semua bangunan pentadbiran Belanda yang lain di Asia Tenggara, ianya dicat putih. Melalui perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824, Melaka telah diserahkan oleh Belanda dan bandar tersebut menjadi tanah jajahan British. Pada tahun 1911, British mengecat bangunan Stadthuys dan Gereja Christ dengan warna merah salmon. Sebab-sebab sebenar mengapa bangunan ini telah dicat merah oleh British kini hilang ditelan zaman tetapi legenda dan teori-teori berkaitannya masih banyak.







Sememangnya Melaka juga terkenal dengan kereta lembu tetapi kini tidak lagi. Mungkin kerana ingin menjaga kebersihan persekitaran dan hanya menempatkan dan menghadkan penggunaan atau pameran kereta lembu di tempat-tempat yang bersesuaian agaknya. Sebab sepanjang saya berada di Melaka saya tidak dapat melihat kereta lembu.


Sepertimana gambar yang anda dapat lihat di atas, kini Melaka terkenal dengan beca Melaka yang pelbagai rupa dan warna. Pilihan di tangan anda. Kalau anda mahu menghayati panorama Bandar Melaka, beca ini akan membawa anda melalui jalan-jalan dan lorong-lorong di pusat bandar bersejarah ini. Beca ini boleh disewa mengikut jam ataupun mengikut jarak perjalanan dan ia berpengkalan di Bangunan Stadthuys.

Kreatif kan orang Melaka ni. Beca ni ada yang tema baby shark, doraemon, hello kitty, minions, ultraman, spiderman...macam-macam lagi lah. Warna-warni pulak tu. Boleh pilih nak naik yang mana satu. 

******************************

Okay...jom kita ke tempat seterusnya

KOTA A FAMOSA


Untuk ke A Famosa kena melalui anak tangga ni. Bila sampai ke atas anda akan nampak runtuhan gereja St Paul. 


Inilah runtuhan gereja St Paul. Menara gereja yang dibina oleh Portugis telah dimusnahkan pada tahun 1745 tetapi temboknya diperkuat dan dijadikan sebagai kubu pertahanan. Sebuah bangunan baru lengkap dengan menara dibina di hadapan gereja ini dan dijadikan sebagai sebuah rumah api tetapi dipisahkan pada tahun 1934. Gereja ini juga menjadi tanah perkuburan pembesar-pembesar Portugis dan Belanda. Batu-batu peringatan yang tersandar di dindingnya diambil dari lantai.

Semasa pemerintahan British, gereja ini dijadikan sebagai gudang menyimpan peluru untuk menyerang Jawa dari tahun 1810-1811. British juga pernah mendirikan tiang bendera yang tinggi dan menukar nama bukit ini kepada Bukit Bendera. Namun demikian, nama tersebut tidak kekal dan tiang benderanya diturunkan semula. Semenjak itu bangunan gereja ini terbiar musnah. Runtuhan gereja ini telah dipulihkan semula dalam bentuk sedia ada dan kini menjadi tumpuan utama pelancong di negeri Melaka.









Inilah tanah perkuburan pembesar-pembesar Portugis dan Belanda.

Untuk pergi ke A'Famosa kita perlu turun ke bahagian bawah sini. Cantik kan pemandangan kat sini.


Kalau anda dapat lihat di sebelah kiri dalam gambar ni terdapat penjual-penjual lukisan untuk dijadikan cenderahati yang sangat cantik hasil seninya. 


Haaaa....inilah dia A Famosa. 


Kota A Famosa bermaksud "Yang Termasyhur" dalam bahasa Portugis dan telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.


Ini pula adalah Pintu Santiago (Porta de Santiago) yang masih terpelihara.

Gambar di bawah ini ruangan dalaman dari Pintu Santiago.




Gambar di bawah ini pula dari luaran Kota A Famosa yang terdapat meriam di kiri kanan setiap seni bina yang didirikan bagi menangkis serangan musuh.




Dah penat berjalan kami gerak nak balik ke Bangunan Stadthuys untuk lepak-lepak kat sana pula. 

Tapi kan....dah lah kami berjalan di tempat yang penuh bersejarah, bulan Ogos pula sejarah besar buat negara kita Malaysia kerana merdeka tanggal 31 Ogos 1957. Di sini juga meninggalkan sejarah dan kenangan terindah juga buat kami sekeluarga. Kerana apa ya??? Kerana  Kak Mia telah berjaya untuk menyanyikan lagu Negaraku di depan orang ramai. Ini semua spontan je berlaku sebab kami sedang menuruni ke bawah dan dalam perjalanan tu kami disapa oleh satu kumpulan yang sedang mengagihkan bendera Malaysia dan meminta Kak Mia untuk nyanyikan lagu Negaraku di depan mereka semua. Hadiah akan diberikan bagi yang berjaya habiskan tugasan ini.

Dan alhamdulillah, Kak Mia berjaya juga nyanyikan lagu Negaraku walaupun malu pada awalnya tapi tetap juga menyanyi sampai habis. Akhirnya Kak Mia dapat hadiah dari Petronas (1 kad Petronas bernilai RM30 yang boleh ditebus dengan minyak ataupun melalui belian di Mesra Petronas) dan juga hamper makanan dari Mamee. 

Kenangan terindah buat Kak Mia sebenarnya.




Alhamdulillah...rezeki Kak Mia hari ni. 

******************************

CENDOL JAM BESAR

So...kami teruskan perjalanan kami. Kami dah penat jalan dan tekak pun dah dahaga dan perut pun dah mula lapar, kami buat keputusan untuk pergi minum Cendol Jam Besar kat depan sana.










Sementara tunggu kawan datang kami makan cendol durian dulu. Buat alas perut dulu.

Dalam tempoh menunggu kawan datang sempat lagi kami masuk ke kedai Melaka Chocolate House ni. Banyak juga coklat-coklat yang dijual di sini. Kebanyakannya berperisa durian. Dan coklat berperisa lain pun ada juga.






Haaaa...kan dah dapat hasilnya tu. Cukuplah 1 bungkus untuk bekalan balik nanti kan. Tapi ni bukan berkira okay...ni sebab adik Kak Mia tak boleh nak makan-makan lagi coklat ni. Nanti tengok Kak Mia makan mesti nak juga.

********************************

Kawan pun dah sampai dan waktu makan tengah hari pun dah masuk waktunya jadi...kami bergerak ke kedai makan untuk makan nasi...yessss!!! Perut lapar kan...hahaaa..

Jadi kami ke jalan-jalan cari makan di....

ASAM PEDAS LAGENDA






Asam pedas dia memang wowwwww....sedap sangat-sangat. Kalau ikutkan hati nak je mai datang kedai ni lagi tapi masa tak mengizinkan....inshaAllah, ada rezeki kami datang ke Melaka lagi kami singgah lagi ye.

******************************

MAHKOTA HOTEL MELAKA

Dah siap makan semua baru lah kami check in di Mahkota Hotel Melaka. Di sinilah kami menginap selama 3 hari 2 malam.




Aktiviti di petang hari. Tunaikan hajat anak-anak nak mandi.

******************************

MELAKA RIVER CRUISE

Aktiviti malam, kami teruskan ke Dataran Stadthuys. Kami berbelah bagi sama ada nak naik beca atau naik bot. Akhirnya anak-anak yang buat keputusan nak naik bot...jadi kami turutkan sahaja kehendak anak-anak kami.


Sempat lagi Kak Mia bergaya dengan beca. 


Siap sedia ke destinasi seterusnya....


Dah sampai kami di Melaka River Cruise. 


Tengok tu..khusyuk bukan main lagi tengok suasana harmoni di malam hari.


Untuk kenang-kenangan....

******************************

Sekarang kami mencari kedai makan untuk santapan malam kami. 

IKAN BAKAR MUARA SG MELAKA


Kami singgah kat sini je untuk makan malam.


Anak pun dah ketiduran...saya sendiri pun dah kepenatan. Sekarang ni hanya nampak bantal je....nak tidur!!!! 

Ngantukkkk + penatttt = tidur lah kan???


Kak Mia dengan Abang pun dah kepenatan juga. Tapi disebabkan lapar nak makan diorang tetap sabar menunggu. 

******************************

Ini baru cerita hari pertama kami kat Melaka ni. Nak tau apa cerita kami di hari kedua dan ketiga boleh klik di sini. Hari Kedua Dan Ketiga Kami Di Bandaraya Melaka Bersejarah

Sunday, 18 August 2019

Pelaksanaan Ibadah Qurban


 
 
 Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana di sini saya berkesempatan untuk berkongsi berkenaan ibadah qurban yang kita laksanakan baru-baru ini. Kenapa saya ingin berkongsi dengan anda perihal ibadah qurban ini? Kerana baru-baru ini saya ditanya tentang soalan berkaitan ibadah qurban. Mungkin ramai yang sedia maklum akan ibadah qurban ini tetapi ada juga atau masih ada lagi di kalangan kita ini yang kurang mengetahui akan perihal ibadah qurban ini. Dan di sini saya cuba memberi sedikit sebanyak nota dan ilmu yang saya rujuk melalui sumber JAKIM. Semoga apa yang saya kongsikan ini sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam melakukan ibadah qurban dan sama-sama kita pelajarinya. Sesungguhnya menuntut ilmu itu adalah satu ibadah.


Latar Belakang Ibadah Qurban

- Ibadah qurban merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam.

- Tujuannya adalah sebagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

- Hukumnya adalah sunat yang sangat dituntut (sunat muakkadah)

- Boleh dilaksanakan setiap tahun apabila tibanya 'Idul Adha atau Hari Raya Qurban pada 10 Zulhijjah dan Hari-hari Tasyriq, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Tafsiran

"Qurban" - bermaksud nama bagi sesuatu yang diqurbankan, atau nama bagi ternakan yang disembelih pada 'Idul Adha. 
Qurban bermaksud menyembelih ternakan tertentu dengan taqarrub kepada Allah s.w.t. pada masa-masa tertentu. Ia juga diertikan sebagai ternakan an'am yang disembelih pada Hari Nahar dengan tujuan taqarrub kepada Allah s.w.t.

"Taqarrub" - bermaksud perbuatan atau amalan yang dilakukan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Ibadah qurban adalah salah satu amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. berdasarkan kepada surah al-Kauthar ayat 2, surah al-Hajj ayat 36.

"Nazar" - bermaksud janji kepada Allah s.w.t. 
Menurut al-Mawardi, nazar ialah itizam (mewajibkan diri) untuk melakukan qurban (sesuatu yang boleh menghampirkan diri kepada Allah) yang pada asalnya tidak wajib di sisi syarak.

"Qurban Nazar" - bermaksud qurban yang diwajibkan ke atas individu yang berazam untuk melakukan qurban nazar.
Contohnya, apabila seseorang menyebut : "Wajib ke atas diriku berqurban seekor kambing kerana Allah s.w.t."

"Qurban Sunat (tatawu')" - bermaksud qurban yang dilakukan bukan niat kerana bernazar.
Ia dikira sunat kerana tidak ada sebab-sebab dan syarat yang menjadikannya wajib.

"Sunat Muakkadah" - bermaksud sunat yang amat dituntut untuk melakukan ibadah qurban, dan makruh meninggalkan bagi yang berkemampuan.

"Hari Nahar" - bermaksud 'Idul Adha atau Hari Raya Qurban, iaitu pada 10 Zulhijjah.

"Hari Tasyriq" - bermaksud 11, 12 dan 13 Zulhijjah.


Hikmah Ibadah Qurban

Sebagai tanda bersyukur terhadap Allah s.w.t. atas segala nikmat-Nya yang berbagai-bagai dan juga atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun.

Ia juga bertujuan menjadi kifarat bagi pelakunya sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan, disamping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berqurban dan juga mereka yang lain.


Hukum Berqurban

Menurut pandangan jumhur ulama, hukum melaksanakan ibadah qurban adalah sunat muakkadah bagi individu yang berkemampuan. 

Pandangan ulama mazhab Shafi'i adalah sunat 'ain bagi setiap orang sekali dalam seumur hidup.

Menurut pandangan yang masyhur di kalangan ulama mazhab Maliki adalah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu. Manakala bagi mereka yang berniat untuk melakukan qurban nazar maka hukum melaksanakannya adalah wajib.


Syarat Individu Yang Dituntut Melakukan Ibadah Qurban

- Seorang Islam yang masih hidup. Tidak boleh melakukan untuk si mati jika dia tidak meninggalkan wasiat.

- Seorang yang merdeka. Tidak dituntut ke atas hamba.

- Mencapai umur baligh dan berakal.

- Bermukim, iaitu menetap di sesuatu kawasan.

- Mampu melaksanakan, iaitu mereka yang mempunyai wang untuk berbelanja mendapatkan ternakan qurban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya untuk Hari Raya dan Hari-hari Tasyrik kerana tempoh itulah masa bagi melakukan qurban.


Syarat Sah Berqurban

- Niat untuk taqarrub diri kepada Allah s.w.t. Waktu niat qurban adalah semasa menyembelih atau semasa membeli ternakan qurban.

- Memilih ternakan qurban yang boleh dikongsi bahagian seperti unta, lembu dan kerbau jika ingin berkongsi tujuh orang. Manakala kambing atau biri-biri dikhususkan untuk seorang yang mewakili satu bahagian.


Tempoh Dan Masa Berqurban

- Penyembelihan hendaklah dilakukan pada Hari Nahar (10 Zulhijjah) dan Hari Tasyrik (11 hingga 13 Zulhijjah) meliputi malam ke-11, 12 dan 13. Qurban tidak sah dilakukan pada malam sebelum Hari Raya (10 Zulhijjah). Ia juga tidak sah dilakukan pada malam 14 Zulhijjah.

- Penyembelihan dilakukan apabila berlaku masa dua rakaat solat sunat Hari Raya Adha serta bacaan khutbah. Sebagai contoh : Masa yang ditetapkan untuk solat sunat Hari Raya pada jam 8.30 pagi dan selesai pada jam 9.30 pagi. Maka waktu berqurban bermula pada jam 9.30 pagi.

- Penyembelihan yang dilakukan selepas tempoh tersebut, sama ada imam menunaikan solat atau tidak, sama ada orang berqurban menunaikan solat atau tidak, sama ada imam menyembelih haiwan qurban atau tidak, hukumnya adalah sah.

- Waktu penyembelihan qurban berterusan siang dan malam (tetapi makruh dilakukan pada waktu malam) sehingga Hari Tasyrik yang terakhir (13 Zulhijjah) sebelum terbenamnya matahari. Bagi penyembelihan qurban yang dilakukan sebelum terbit fajar, maka hukumnya adalah tidak sah.

- Penyembelihan qurban yang dilakukan selepas terbit matahari dan sebelum waktu solat sunat Hari Raya Adha adalah tidak mendapat pahala sunat dan tidak dikira sebagai ibadah.


Syarat Sah Haiwan Ternakan Untuk Qurban

- Ibadah qurban tidak sah kecuali dengan haiwan ternakan sahaja, iaitu unta, lembu, kambing, biri-biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina, yang menjadi baka ataupun dikasi.
Dengan itu, tidak sah berqurban selain dengan haiwan ternakan seperti kerbau liar, kijang, rusa, pelanduk dan seumpamanya.

- Haiwan ternakan itu hendaklah sihat dan bebas daripada sebarang penyakit.

- Haiwan ternakan itu tidak mempunyai kecacatan, sama ada tempang, buta, telinga koyak, patah sebelah tanduk, cedera pada tubuh badan, kurus sehingga tidak mempunyai lemak, atau kecacatan yang lain sepertinya.

- Haiwan ternakan itu telah mencapai satu tahap minimum umur iaitu :-
  • unta : berumur lima tahun masuk tahun keenam
  • lembu/kerbau : berumur dua tahun masuk tahun ketiga
  • kambing : berumur dua tahun masuk tahun ketiga
  • biri-biri : berumur satu tahun masuk tahun kedua, ataupun telah bersalin gigi hadapan

Perkara Makruh Ketika Berqurban

- Melakukan qurban ke atas haiwan yang carik telinganya atau terpotong sedikit dibelakang telinganya.

- Memotong bulu haiwan yang hendak diqurbankan bagi tujuan kegunaan sendiri jika boleh memudaratkannya.

- Melakukan qurban ke atas haiwan yang pecah atau patah tanduknya, iaitu tiada bertanduk.

- Memerah susu haiwan yang hendak dijadikan qurban dan meminumnya kecuali disedekahkan susu tersebut.

- Memotong kuku dan bercukur bagi orang yang berniat qurban.

- Melakukan sembelihan qurban pada waktu malam. 


Sumber Rujukan :

Garis Panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Bilangan 2 Tahun 2013
Pelaksanaan Ibadah Qurban 

Wednesday, 7 August 2019

Sesungguhnya Hidayah Itu Milik Allah


 
  Alhamdulillah...syukur ya Allah kerana hari ini diberi kesempatan utk memudahkan urusan seorang hamba Allah utk menunaikan kewajipan berzakat. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Didatangi seorang insan yg betul-betul insaf dan ingin berubah serta perbaiki semula dirinya dan sedar akan kelalaian dan kekhilafan yg telah dia lalui sepanjang 7 tahun menjalankan perniagaan, telah meluahkan segala kesukaran yg telah dilalui kebelakangan ini. 
 
 Allah jentik hatinya utk mengingatkan dirinya utk menunaikan kewajipan berzakat sangat menyentuh hati saya. Hanya dengan diuji keperitan hidup utk menguruskan perniagaan dan hutang yg ditanggung utk pengurusan perniagaannya menyedarkan dirinya di mana silapnya dan kenapa keperitan hidup ini yg perlu dia lalui. Disedarkan dengan nasihat utk mengeluarkan zakat melalui sahabat niaganya buatkan dia berfikir kesilapan yg telah dia lakukan krn lalai dgn kemewahan dan kesenangan yg telah dinikmatinya hingga lupa akan kewajipan berzakat.
 
 Perniagaan yg dijalankan selama 7 tahun pada peringkat awalnya amat menguntungkan tetapi sejak kebelakangan ini aliran tunai atau hasil perniagaan yg diusahakan tidak tahu dan tidak dapat dikesan ke mana hala tujunya dan mulalah fasa kesusahan dan kepayahan yg dilaluinya.
 
 Hari ini menguatkan lagi dirinya utk hadir juga ke pusat urusan zakat kerana sekali lagi Allah telah jentik hatinya utk segera melakukan perkara baik ini hanya melalui siaran televisyen yg dibuka pagi tadi. Rancangan di televisyen siarkan pada ketika dibuka dan dibicarakan pada ketika itu adalah mengenai kewajipan dalam menunaikan zakat. Terdiam saya seketika....kerana sesungguhnya Allah begitu sayangkan hambaNya dari terus lalai dgn hanya hidayah dan petunjuk melalui rancangan televisyen yg berkebetulan pada masa ini hamba Allah ini sedang melalui fasa yg betul-betul utk ubah dirinya ke arah melakukan kebaikan dan sedang cuba memperbaiki dirinya.
 
 Semasa dibuat pengiraan zakat tadi nampak keresahan dan kerisauan diraut wajahnya. Dan setelah zakat dibayar sebahagian....alhamdulillah, nampak sedikit kelegaan dan tangisan kesalan mungkin atau kelegaan dapat tunaikan kewajipan berzakat mengiringi doa kami tadi. Apabila bersalam tangan saya dipegang erat dan ucapan terima kasih kerana telah menolongnya selesaikan apa yg telah lama ingin ditunaikan akhirnya terlaksana hari ini....alhamdulillah. Sesungguhnya zakat yg ikhlas adalah dari hati yg jujur dan semoga Allah permudahkan urusannya, urusanku dan urusan sesiapa yg sedang membaca skrg ini di dunia dan akhirat....amiinnn.
 
 Sesungguhnya hidayah itu adalah milik Allah dan zakat itu adalah satu kewajipan. 
 
#zakat
#wajib
#hidayah

Saturday, 28 July 2018

Kek Lapis Masam Manis Kukus (Haw Flakes)



Kek lapis masam manis....sape yang gemar dengan kek ni? Mesti ramai yang suka kan? Rasanya masam-masam manis bila dimakan...sesuai sangat dimakan di waktu petang bersama keluarga tapi nak membuatnya agak sedikit rumit bagi saya yang baru mencuba resepi ni. 

Dah lama sebenarnya saya nak makan kek lapis masam manis ni. Dulu kawan saya pernah buatkan saya kek ni tapi memandangkan saya dah berjauhan dengannya rasa teringin nak makan kek ala-ala yang kawan saya ni buat saya pun cuba google mencari resepi kek lapis masam manis haw flakes. Alhamdulillah, saya terjumpa resepi ni di e-nalovelykitchen.blogspot.com.
Terima kasih kepada tuan empunya resepi yang sudi share di laman blognya.

Ini pertama kali saya buat kek ni..dan inilah hasilnya, alhamdulillah...sedap dan boleh diterima selera kami sekeluarga. Maaf, saya tak sempat nak ambil gambar step by step...just hasil yang dah siap baru lah boleh nak snap pic...heheee. So...jom kita lihat resepinya.

Bahan A

5 biji telur
200 gm gula castor
1 sk esen vanila
1 sk ovallete
secubit garam

Bahan B

220 gm tepung gandum
1 sk baking powder

Bahan C

150 ml fresh milk/susu cair
100 ml minyak masak

Bahan D

Pewarna kuning, hijau dan purple
Haw flakes secukupnya
Loyang bulat 20 cm

Cara-caranya :- 

1. Masukkan semua bahan A ke dalam bekas adunan.

2. Pukul sehingga kembang dan gebu berkrim.

3. Masukkan bahan B dan bahan C berselang-seli ke dalam bahan A.

4. Pukul sehingga sebati.

5. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian dan warnakan dengan warna kegemaran anda.

6. Sediakan bekas kukusan dan panaskan dahulu di atas dapur sementara menunggu adunan siap.

7. Sapu sedikit marjerin di sekeliling loyang.

8. Alas loyang dengan cooking sheet.

9. Masukkan 1 senduk lebih adunan berwarna kuning dan ratakan. Kukus sehingga masak.

10. Kemudian angkat dan masukkan 1 senduk lebih adunan berwarna purple, ratakan dan kukus semula sehingga masak.

11. Susun haw flakes kemudian masukkan 1 senduk lebih adunan berwarna hijau dan ratakan. Kukus lagi sehingga masak.

12. Ulang langkah 8-10 sehingga adunan habis.

13. Hasilnya akan jadi begini : lapisan kuning + lapisan purple + lapisan haw flakes + lapisan hijau + lapisan kuning + lapisan haw flakes + lapisan purple + lapisan hijau + lapisan haw flakes + lapisan kuning + lapisan purple + lapisan haw flakes + lapisan hijau.

Sebelum itu saya ingin share pic haw flakes bagi sesiapa yang belum tahu apa itu haw flakes.

Sumber pic dari e-nalovelykitchen.blogspot.com

Saya juga ingin kongsikan ilmu dari e-nalovelykitchen.blogspot dalam pembuatan kek lapis.

Tips Membuat Kek Lapis Dari Lovely Kitchen

* Terlalu lama masa mengukus setiap lapisan boleh menyebabkan lapisan kek lapis tidak melekat antara satu sama lain/tertanggal.

* Pastikan kek sudah masak sebelum melapis lapisan seterusnya. Jika tidak adunan akan bercampur dan lapisan tidak cantik.

* Sentuh sedikit dengan hujung jari untuk mengetahui lapisan kek sudah masak atau belum. Jika kering dan tidak melekat di hujung jari, bolehlah dilapiskan lapisan seterusnya.

* Tempoh masa mengukus kek tidak sama antara lapisan pertama dengan lapisan seterusnya. Mesti selalu check.

* Seeloknya sebelum melapis tekan lembut lapisan kek dengan sudu plastik. Supaya kek padat dan tiada lubang udara (Kak Diana).

* Cara menyimpan kek lapis : balut dengan aluminium foil dan simpan di dalam peti sejuk untuk ketahanan yang lebih lama (Kak Diana)

* Setiap kali memotong kek lapis, lap/bersihkan pisau pemotong dengan kitchen tissue supaya hasilnya tidak comot.

NOTE :  E-na try tekan lapisan pertama dengan sudu plastik untuk resepi ini tapi macam tak mampat juga lapisan tu, pastu taklah tekan lagi dah...mungkin sebab menggunakan ovallete dan tepung gandum. Kalau yang guna biskut marie rasanya sesuai guna kaedah tekan dengan sudu plastik.

*** memang betul pun...sebab saya pun try jugak dengan sudu plastik tapi nampak tak berapa nak padat, so saya gunakan sudu biasa untuk mampatkan kek...alhamdulillah menjadi ***


Selamat mencuba ye!!!
Jumpa lagi!!!