Monday, 19 September 2016

"Sayang...."


Bismillahirrahmanirrahim….
Dengan lafaz bismillah, saya mulakan bicara perkongsian saya ini….Alhamdulillah, Allah hadirkan sepasang suami isteri yang datang berurusan dengan saya. Pengalaman ini sudah lama berlalu tetapi baru sekarang saya ingin berkongsi dengan anda semua. Benda baik apa salahnya kita kongsikan, betul tak??? Sekurang-kurangnya menjadi tauladan dan sebagai contoh untuk kita semua.
Satu petang yang agak sibuk juga pada hari itu, saya ditemukan oleh Allah dengan pasangan suami isteri yang memang baik dan penuh sopan santun. Senang saya berurusan dengan mereka berdua. Setiap pertanyaan mereka saya jawab dengan tenang. Mudah berbicara dengan mereka kerana setiap butir bicara yang mereka tanyakan dengan pelbagai soalan kemusykilan, mereka gunakan dengan penuh adab dan lemah lembut. Tidak sedikit pun dengar dari pasangan ini berbicara dengan nada yang tinggi. 
Walaupun kerjaya saya ini hanya sekadar membantu namun secara tidak langsung perlu juga saya berurusan dengan pelanggan yang pelbagai ragam dan karenah. Seperti contoh yang baik pada pasangan ini, saya sangat kagum dengan suami pasangan ini. Orangnya biasa-biasa saja, begitu juga si isteri. Namun kerana sikap mereka, toleransi mereka dan kasih sayang yang mereka tonjolkan membuatkan saya rasa kagum.
Pelbagai soalan diajukan dan saya jawabnya satu persatu. Tiba si isteri yang masih belum jelas dengan jawapan yang saya berikan dan saya cuba jelaskan dengan lebih terperinci lagi agar apa yang menjadi persoalan terlerai dengan jawapan yang dapat difahami dengan jelas. Namun si suami dengan lembut mula berbicara dengan isterinya dan menerangkan satu persatu apa yang saya ingin cuba jelaskan. Saya hanya mampu tersenyum melihat si suami bersungguh-sungguh memberikan jawapan dengan sebaik mungkin bagi merungkai persoalan si isteri. Selesai berurusan sempat saya memerhatikan pasangan ini keluar dari ruang pejabat sambil berpimpin berpegangan tangan. Bisik hati saya mengatakan bertuahnya mereka kerana dijodohkan dengan pasangan yang serasi dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Saya dapat mengagak usia perkahwinan mereka mungkin sudah mencecah ke usia 30 tahun ke atas. Namun yang paling saya suka bila si suami masih setia memanggil isterinya dengan panggilan “sayang”. Usia mereka pun lebih kurang 50 hingga 60 tahun begitu. Tetapi masih kekalkan suasana romantis dalam perhubungan mereka. Tidak peduli apa pandangan orang lain dan sememangnya saya dapat lihat betapa bahagianya pasangan ini.
Apa yang saya dapat pelajari dari pasangan ini, untuk kekalkan kebahagiaan perlu ada sikap toleransi dan komunikasi yang baik. Usia sememangnya bukan penghalang untuk kekal romantik. Jika apa yang kita berikan itu baik, maka baik jugalah yang akan kita terima. Semoga perhubungan yang terjalin ini kekal dengan perhubungan yang baik sentiasa. Amin…
-Azimah Mohd-