Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana di sini saya berkesempatan untuk berkongsi berkenaan ibadah qurban yang kita laksanakan baru-baru ini. Kenapa saya ingin berkongsi dengan anda perihal ibadah qurban ini? Kerana baru-baru ini saya ditanya tentang soalan berkaitan ibadah qurban. Mungkin ramai yang sedia maklum akan ibadah qurban ini tetapi ada juga atau masih ada lagi di kalangan kita ini yang kurang mengetahui akan perihal ibadah qurban ini. Dan di sini saya cuba memberi sedikit sebanyak nota dan ilmu yang saya rujuk melalui sumber JAKIM. Semoga apa yang saya kongsikan ini sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam melakukan ibadah qurban dan sama-sama kita pelajarinya. Sesungguhnya menuntut ilmu itu adalah satu ibadah.
Latar Belakang Ibadah Qurban
- Ibadah qurban merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam.
- Tujuannya adalah sebagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
- Hukumnya adalah sunat yang sangat dituntut (sunat muakkadah)
- Boleh dilaksanakan setiap tahun apabila tibanya 'Idul Adha atau Hari Raya Qurban pada 10 Zulhijjah dan Hari-hari Tasyriq, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Tafsiran
"Qurban" - bermaksud nama bagi sesuatu yang diqurbankan, atau nama bagi ternakan yang disembelih pada 'Idul Adha.
Qurban bermaksud menyembelih ternakan tertentu dengan taqarrub kepada Allah s.w.t. pada masa-masa tertentu. Ia juga diertikan sebagai ternakan an'am yang disembelih pada Hari Nahar dengan tujuan taqarrub kepada Allah s.w.t.
"Taqarrub" - bermaksud perbuatan atau amalan yang dilakukan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Ibadah qurban adalah salah satu amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. berdasarkan kepada surah al-Kauthar ayat 2, surah al-Hajj ayat 36.
"Nazar" - bermaksud janji kepada Allah s.w.t.
Menurut al-Mawardi, nazar ialah itizam (mewajibkan diri) untuk melakukan qurban (sesuatu yang boleh menghampirkan diri kepada Allah) yang pada asalnya tidak wajib di sisi syarak.
"Qurban Nazar" - bermaksud qurban yang diwajibkan ke atas individu yang berazam untuk melakukan qurban nazar.
Contohnya, apabila seseorang menyebut : "Wajib ke atas diriku berqurban seekor kambing kerana Allah s.w.t."
"Qurban Sunat (tatawu')" - bermaksud qurban yang dilakukan bukan niat kerana bernazar.
Ia dikira sunat kerana tidak ada sebab-sebab dan syarat yang menjadikannya wajib.
"Sunat Muakkadah" - bermaksud sunat yang amat dituntut untuk melakukan ibadah qurban, dan makruh meninggalkan bagi yang berkemampuan.
"Hari Nahar" - bermaksud 'Idul Adha atau Hari Raya Qurban, iaitu pada 10 Zulhijjah.
"Hari Tasyriq" - bermaksud 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Hikmah Ibadah Qurban
Sebagai tanda bersyukur terhadap Allah s.w.t. atas segala nikmat-Nya yang berbagai-bagai dan juga atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun.
Ia juga bertujuan menjadi kifarat bagi pelakunya sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan, disamping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berqurban dan juga mereka yang lain.
Hukum Berqurban
Menurut pandangan jumhur ulama, hukum melaksanakan ibadah qurban adalah sunat muakkadah bagi individu yang berkemampuan.
Pandangan ulama mazhab Shafi'i adalah sunat 'ain bagi setiap orang sekali dalam seumur hidup.
Menurut pandangan yang masyhur di kalangan ulama mazhab Maliki adalah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu. Manakala bagi mereka yang berniat untuk melakukan qurban nazar maka hukum melaksanakannya adalah wajib.
Syarat Individu Yang Dituntut Melakukan Ibadah Qurban
- Seorang Islam yang masih hidup. Tidak boleh melakukan untuk si mati jika dia tidak meninggalkan wasiat.
- Seorang yang merdeka. Tidak dituntut ke atas hamba.
- Mencapai umur baligh dan berakal.
- Bermukim, iaitu menetap di sesuatu kawasan.
- Mampu melaksanakan, iaitu mereka yang mempunyai wang untuk berbelanja mendapatkan ternakan qurban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya untuk Hari Raya dan Hari-hari Tasyrik kerana tempoh itulah masa bagi melakukan qurban.
Syarat Sah Berqurban
- Niat untuk taqarrub diri kepada Allah s.w.t. Waktu niat qurban adalah semasa menyembelih atau semasa membeli ternakan qurban.
- Memilih ternakan qurban yang boleh dikongsi bahagian seperti unta, lembu dan kerbau jika ingin berkongsi tujuh orang. Manakala kambing atau biri-biri dikhususkan untuk seorang yang mewakili satu bahagian.
Tempoh Dan Masa Berqurban
- Penyembelihan hendaklah dilakukan pada Hari Nahar (10 Zulhijjah) dan Hari Tasyrik (11 hingga 13 Zulhijjah) meliputi malam ke-11, 12 dan 13. Qurban tidak sah dilakukan pada malam sebelum Hari Raya (10 Zulhijjah). Ia juga tidak sah dilakukan pada malam 14 Zulhijjah.
- Penyembelihan dilakukan apabila berlaku masa dua rakaat solat sunat Hari Raya Adha serta bacaan khutbah. Sebagai contoh : Masa yang ditetapkan untuk solat sunat Hari Raya pada jam 8.30 pagi dan selesai pada jam 9.30 pagi. Maka waktu berqurban bermula pada jam 9.30 pagi.
- Penyembelihan yang dilakukan selepas tempoh tersebut, sama ada imam menunaikan solat atau tidak, sama ada orang berqurban menunaikan solat atau tidak, sama ada imam menyembelih haiwan qurban atau tidak, hukumnya adalah sah.
- Waktu penyembelihan qurban berterusan siang dan malam (tetapi makruh dilakukan pada waktu malam) sehingga Hari Tasyrik yang terakhir (13 Zulhijjah) sebelum terbenamnya matahari. Bagi penyembelihan qurban yang dilakukan sebelum terbit fajar, maka hukumnya adalah tidak sah.
- Penyembelihan qurban yang dilakukan selepas terbit matahari dan sebelum waktu solat sunat Hari Raya Adha adalah tidak mendapat pahala sunat dan tidak dikira sebagai ibadah.
Syarat Sah Haiwan Ternakan Untuk Qurban
- Ibadah qurban tidak sah kecuali dengan haiwan ternakan sahaja, iaitu unta, lembu, kambing, biri-biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina, yang menjadi baka ataupun dikasi.
Dengan itu, tidak sah berqurban selain dengan haiwan ternakan seperti kerbau liar, kijang, rusa, pelanduk dan seumpamanya.
- Haiwan ternakan itu hendaklah sihat dan bebas daripada sebarang penyakit.
- Haiwan ternakan itu tidak mempunyai kecacatan, sama ada tempang, buta, telinga koyak, patah sebelah tanduk, cedera pada tubuh badan, kurus sehingga tidak mempunyai lemak, atau kecacatan yang lain sepertinya.
- Haiwan ternakan itu telah mencapai satu tahap minimum umur iaitu :-
- unta : berumur lima tahun masuk tahun keenam
- lembu/kerbau : berumur dua tahun masuk tahun ketiga
- kambing : berumur dua tahun masuk tahun ketiga
- biri-biri : berumur satu tahun masuk tahun kedua, ataupun telah bersalin gigi hadapan
Perkara Makruh Ketika Berqurban
- Melakukan qurban ke atas haiwan yang carik telinganya atau terpotong sedikit dibelakang telinganya.
- Memotong bulu haiwan yang hendak diqurbankan bagi tujuan kegunaan sendiri jika boleh memudaratkannya.
- Melakukan qurban ke atas haiwan yang pecah atau patah tanduknya, iaitu tiada bertanduk.
- Memerah susu haiwan yang hendak dijadikan qurban dan meminumnya kecuali disedekahkan susu tersebut.
- Memotong kuku dan bercukur bagi orang yang berniat qurban.
- Melakukan sembelihan qurban pada waktu malam.
Sumber Rujukan :
Garis Panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Bilangan 2 Tahun 2013
Pelaksanaan Ibadah Qurban