Friday, 11 November 2016

Pulau Langkawi, Malaysia



Pulau Langkawi.... kami datang lagi. Alhamdulillah, jodoh saya dengan Pulau Langkawi masih panjang. Rezeki yang diluar jangka dan diluar perancangan saya sepanjang tempoh 2016 untuk memijakkan kaki saya di Pulau Langkawi. Memang tiada langsung dalam rancangan tahunan. Heheeee... ingatkan plan cuti am sempena Deepavali ditambah dengan cuti sekolah one week nak bercuti di tempat lain, lastly lain tempat yang pergi.

Satu perjalanan yang amat panjang dari Terengganu ke Pulau Langkawi menjangkau masa lebih kurang 12 jam atau lebih. Saya sampai agak lewat juga kerana bila berkonvoi ni biasa lah kan...kena jalan sama-sama. Saya bertolak dari pukul 8.30 malam dari Dungun, Terengganu dan sampai ke Terminal Feri Kuala Perlis lebih kurang pukul 11.00 pagi. Fuhhhh...lenguh juga satu badan asyik duduk je dalam kereta. Ketua rombongan kami terus pergi beli tiket dan kami dapat naik feri pukul 1.00 tengah hari, Hahahaaa...cuti sekolah memang penuh. Saya dah berkali-kali pergi tapi yang ni first time saya pergi waktu cuti sekolah. Penuh satu terminal tu duk tunggu turn feri masing-masing. Sampaikan tak cukup kerusi nak duduk. Siap ada duduk berselimpuh atas lantai. 

Dah sampai kami di Terminal Feri Kuala Perlis

Gambar ni saya ambil masa keadaan sedikit tenang selepas 2 feri bergerak ke Pulau Langkawi

Asyik duk tengok orang kiri kanan kiri kanan akhirnya kami bergerak naik feri pukul 1.00 tengah hari dan kami sampai di Jeti Pekan Kuah lebih kurang pukul 1.50 tengah hari.

Alhamdulillah...selamat sampai di Jeti Pekan Kuah

Dah berkumpul semua kat sini barulah van yang kami sewa sampai dan dapat masuk rumah lebih kurang pukul 3 petang. Sebenarnya pihak pengurusan rombongan kami ini tak ambil full package. Hanya berurusan untuk sewaan van dan rumah sahaja. Saya agak kecewa jugalah kerana terdapat masalah teknikal pada bahagian pintu masuk utama. Kami sebenarnya menginap di Seri Lagenda Apartment. Ini merugikan masa kami yang dah siap plan nak keluar jalan-jalan di Pekan Kuah.

Blok 5 tempat kami menginap
Nak segarkan badan bolehlah berendam kat kolam ni.

Dah siap simpan bag dan solat kami terus keluar jalan-jalan cari makan. 

Air Laichi Kang yang terbaik di Pulau Langkawi
Perut dah kenyang...haus pun dah hilang, kami menuju ke Padang Matsirat Beras Terbakar. Hajatnya nak beli kain batik dan sedikit ole-ole untuk kenang-kenangan buat kawan anak-anak tetapi kami sampai dah lewat...pukul 6.20 petang. Masing-masing dah nak tutup kedai dah....so takde lah rezeki kami nak masuk kat sana. Kami terus balik rumah dan rehatkan badan dulu, malam baru kami keluar pergi ke Kompleks Haji Ismail Group. Malam tu jugalah kami shopping pinggan mangkuk dan coklat. Tapi nasib baik jugalah kami awalkan diri ke Kompleks Haji Ismail Group sebab masa kami sampai memang orang tak ramai. Tetapi lebih kurang jam 9.30 malam orang ramai dah start penuhkan Kompleks Haji Ismail Group. Kami yang dah puas hati shopping terus ambil langkah keluar, Tak sangguplah saya nak bershopping dengan keadaan orang ramai macam tu. Asyik langgar bahu orang. Eeeeeee....rimas tau.

Dah sampai pun kami dekat Beras Terbakar tapi tak boleh masuk pula sebab kedai dah nak tutup. Hanya mampu melihat dari luar sajalah

Agenda hari seterusnya kami ke Oriental Village Langkawi Geopark Centre. Fokus utama kami Cable Car....heheheee...sebab nak bawa anak-anak naik. Terus terang saya katakan yang saya memang gayat dengan tempat-tempat tinggi. Tapi, disebabkan kerana anak saya kuatkan juga semangat naik bersama-sama mereka. Sebelum ni dah pernah naik pun dengan kawan-kawan dan sempat bercakap sesama kawan-kawan masa tu lepas ni dah tak nak naik dah....akhirnya, kata-kata tu memang tak leh pakai. Hahahaaa...tak nak naik sangat kan....tapi kali ini naik seronok jugalah sebab cable car dah banyak buat penambahbaikan.

Sedang menunggu tiket untuk naik Cable 
Keadaan kat sini agak tegang. Mana taknya...bahagian tiket nak naik cable car penuh. Mana yang tunggu turn nak masuk pun penuh. Kami dapat tiket naik pukul 10.30 pagi tapi sampai dapat naik cable car pukul 12.00 tengah hari lebih kurang. Cuba bayangkan betapa panjangnya masa kami nak naik Cable Car. 

Persekitaran di tingkat atas SkyCab

Bila dah dapat naik kat tingkat atas SkyCab kami dibawa ke sesi penggambaran dahulu. Biasalah kan...Langkawi memang tak terlepas dari sesi bergambar. Dah siap sesi bergambar kami diminta tunggu seketika dan dibawa pula ke bahagian hadapan tempat duduk yang berbaris-baris dalam gambar kat atas ni. Kami dijemput masuk pula ke bilik "Discover The World Beyond Imagination". Kami memang pada asalnya tak tahu fungsi bilik berkenaan. Dah masuk rupa-rupanya bilik ni adalah bilik siaran 3D cinema. Kami naik roller coaster melalui mata dan imaginasi kami. Hahahaaaa...memang seronok jugalah...tapi bila dah keluar pening lalat jugalah kepala ni. Mana taknya...naik roller coaster.

Ini untuk pelanggan VIP sahaja ye...saya naik yang biasa je...heheee

Kami hanya pusing saja...tak nak turun dekat Sky Bridge...gayat...bagi peluang kat orang lain

Cantik kan....pemandangan Pulau Langkawi dari Cable Car

Alhamdulillah...dah selamat turun kat bawah kami jalan-jalan dulu sementara menunggu kawan-kawan yang lain. Sementara menunggu kami masuk pula ke Langkawi Art In Paradise 3D Art Museum. Di sini saya kongsikan sedikit gambar-gambar yang sempat saya ambil.

Langkawi Art In Paradise 3D Art Museum







Dah puas kami pusing-pusing kat dalam museum ni kami keluar dan pergi berjalan-jalan di persekitaran Oriental Village Langkawi Geopark Info Centre. Memang banyak lagi tempat yang kami belum terokai. Cuma sempat menyelinap masuk dengan bayaran di Imaginarium Kiddo Town. Sesiapa yang bawa anak-anak yang sedang membesar elok sangat-sangat bawa diorang masuk ke sini. Just For Fun... Ada sesi bermain dan tangkap gambar muka sendiri lepas tu keluar muka dalam watak-watak kartun kat dinding bergerak-gerak. Ada sesi bermain dengan bilik gelap bercahayakan lampu pelbagai design yang boleh dipilih. Ada juga sesi mewarna gambar kartun hidupan laut dan dah siap diorang ni akan masukkan dalam program diorang untuk paparan di dinding bilik. Nampak hasil mewarna kita kat dinding bergerak-gerak seolah-olah berada di dalam akuarium yang besar. Bagi kanak-kanak memang suka sesi ni. Last sesi bermain dengan binatang liar 3D cinema dan nampak macam binatang-binatang ni berada di depan mata dan kita boleh bermain-main dengan mereka. Hahahaaa...kenapa??? tak percaya ye??? tak percaya kena lah pergi dan masuk kat sini.

Imaginarium Kiddo Town
Di sini juga saya selitkan gambar-gambar persekitaran Oriental Village Langkawi Geopark Info Centre untuk tatapan semua.

Kiosk dan Restoran Melayu di luar perkarangan Oriental Village Langkawi Geopark Info Centre.
Dah penat jalan-jalan mesti perut lapar, so...boleh lah cari makan dulu.

Laluan masuk Oriental Village Langkawi Geopark Info Centre

Bagi adik-adik yang minat dengan mini motorbike pun boleh cuba di sini.

Siapa yang nak peningkan kepala boleh main dengan zorb in the pond ni ye...heheee

Cantikkan view kat sini. Saya pakai camera phone cap ayam je...kalau lah dapat pakai camera macam photographer pakai kan best...bolehlah ambil gambar banyak-banyak. Kena beli jugalah nampak gayanya ni...heheheee...

Ni lagi satu view yang saya paling suka kat sini

Dah seharian suntuk kami kat sini...petang kami balik ke rumah menginap kami. Sebelum balik tu sempat lagi kami berhenti di Stesen Minyak Petronas. Wow....view kat sini pun menarik tau. Banyak kapal-kapal layar mewah kat sini. 





Fuhhhh....tubuh letih tapi seronok. Malam kami keluar pergi ke Pantai Chenang. Sekadar meronda-ronda di malam hari. Tak singgah kat mana-mana pun. Hanya melihat suasana malam hari.

Pagi esoknya kami bersiap-siap untuk berangkat balik. Tiket feri kami pukul 12.00 tengah hari. So...kami bersiap lebih awal kerana nak singgah dahulu di Dataran Helang. Mana boleh pulang begitu saja kalau tak ambil kesempatan bergambar dengan Helang paling besar di Malaysia...biar datang berkali-kali pun tapi kat sini memang wajib kena singgah...hahahaa.






Dah sampai masa kami naik feri untuk berangkat pulang. Kalau ikutkan hati memang tak puas lagi nak jalan-jalan kat sini. Tapi apakan daya...perlu ikut jadual yang pihak pengurusan rombongan dah sediakan. Kalau ada rezeki dan jodoh akan bertandang lagi kami di sini... InshaAllah.

Monday, 19 September 2016

"Sayang...."


Bismillahirrahmanirrahim….
Dengan lafaz bismillah, saya mulakan bicara perkongsian saya ini….Alhamdulillah, Allah hadirkan sepasang suami isteri yang datang berurusan dengan saya. Pengalaman ini sudah lama berlalu tetapi baru sekarang saya ingin berkongsi dengan anda semua. Benda baik apa salahnya kita kongsikan, betul tak??? Sekurang-kurangnya menjadi tauladan dan sebagai contoh untuk kita semua.
Satu petang yang agak sibuk juga pada hari itu, saya ditemukan oleh Allah dengan pasangan suami isteri yang memang baik dan penuh sopan santun. Senang saya berurusan dengan mereka berdua. Setiap pertanyaan mereka saya jawab dengan tenang. Mudah berbicara dengan mereka kerana setiap butir bicara yang mereka tanyakan dengan pelbagai soalan kemusykilan, mereka gunakan dengan penuh adab dan lemah lembut. Tidak sedikit pun dengar dari pasangan ini berbicara dengan nada yang tinggi. 
Walaupun kerjaya saya ini hanya sekadar membantu namun secara tidak langsung perlu juga saya berurusan dengan pelanggan yang pelbagai ragam dan karenah. Seperti contoh yang baik pada pasangan ini, saya sangat kagum dengan suami pasangan ini. Orangnya biasa-biasa saja, begitu juga si isteri. Namun kerana sikap mereka, toleransi mereka dan kasih sayang yang mereka tonjolkan membuatkan saya rasa kagum.
Pelbagai soalan diajukan dan saya jawabnya satu persatu. Tiba si isteri yang masih belum jelas dengan jawapan yang saya berikan dan saya cuba jelaskan dengan lebih terperinci lagi agar apa yang menjadi persoalan terlerai dengan jawapan yang dapat difahami dengan jelas. Namun si suami dengan lembut mula berbicara dengan isterinya dan menerangkan satu persatu apa yang saya ingin cuba jelaskan. Saya hanya mampu tersenyum melihat si suami bersungguh-sungguh memberikan jawapan dengan sebaik mungkin bagi merungkai persoalan si isteri. Selesai berurusan sempat saya memerhatikan pasangan ini keluar dari ruang pejabat sambil berpimpin berpegangan tangan. Bisik hati saya mengatakan bertuahnya mereka kerana dijodohkan dengan pasangan yang serasi dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Saya dapat mengagak usia perkahwinan mereka mungkin sudah mencecah ke usia 30 tahun ke atas. Namun yang paling saya suka bila si suami masih setia memanggil isterinya dengan panggilan “sayang”. Usia mereka pun lebih kurang 50 hingga 60 tahun begitu. Tetapi masih kekalkan suasana romantis dalam perhubungan mereka. Tidak peduli apa pandangan orang lain dan sememangnya saya dapat lihat betapa bahagianya pasangan ini.
Apa yang saya dapat pelajari dari pasangan ini, untuk kekalkan kebahagiaan perlu ada sikap toleransi dan komunikasi yang baik. Usia sememangnya bukan penghalang untuk kekal romantik. Jika apa yang kita berikan itu baik, maka baik jugalah yang akan kita terima. Semoga perhubungan yang terjalin ini kekal dengan perhubungan yang baik sentiasa. Amin…
-Azimah Mohd-

Monday, 8 August 2016

Crunchy Caramel


Assalamualaikum....

Salam sejahtera semua...tengok tak gambar kat atas nih??? Kalau peminat tegar kekacang mesti suka makan ni, termasuklah saya... Nih namanya Crunchy Caramel. Alhamdulillah, sempat juga saya cuba resepi ni. Memang ringkas dan mudah je nak buatnya ni. Kalau yang tak pernah masuk dapur pun boleh buatnya...heheee. Duk depan tv ambil balang Crunchy Caramel ni memang sekali hadap je lah jawabnya...licin. Krup krap krup krap!!!! makan tak ingat dunia!!!

Kepada yang ingin cuba buat, jom follow step di bawah.... 


Ini bahan-bahan untuk Crunchy Caramel ye...

1 bungkus florenta
250 gm biji labu/kuaci hijau
250 gm melon seed
250 gm kuaci/sunflower
100 gm bijan hitam
Acuan tart


Masukkan semua biji labu. melon seed, kuaci dan bijan hitam dalam mangkuk besar.


Gaulkan semuanya.


Masukkan tepung florenta. Saya hanya masukkan 250 gm ++ sahaja dari 1 paket tepung florenta. Boleh juga mengikut anggaran kesukaan masing-masing. Saya tak suka manis...so saya kurangkan sedikit. 1 paket tepung florenta beratnya 500 gm.


Gaulkan kesemuanya...


Dah gaul sebati saya masukkan ke dalam bekas acuan tart. Saya gunakan acuan tart ni sebab mudah dapat bentuk yang sama. Padat-padatkan dalam bekas acuan ni dan bolehlah dibakar dengan suhu 170 c selama 15 minit atau mengikut tahap oven masing-masing.

Setelah nampak sedikit kekuningan bolehlah dikeluarkan dari oven dan sejukkan terlebih dahulu sebelum keluarkan dari acuan tart dengan cara mencengkan bekas acuan tart.

Mudah kan???
Crunchy Caramel!!!! Krup krap krup krap gituw!!!!

Wednesday, 20 July 2016

Anak Aktif

Hanya ingin berkongsi rasa yang terdetik di hati. Hari ini didatangi 2 wanita yang sederhana pemakaiannya. Antara ibu dan anak…si anak membawa anaknya 2 orang yang berusia lingkungan 3 tahun lebih (lelaki) dan baby di bahu ibunya agak-agak lebih kurang 1 tahun.

Sedang mereka berurusan saya sempat bersua muka dan bertentang mata dengan anak kecil yang comel dan sihat bermain-main dan berlari-lari di dalam pejabat berhawa dingin…hehee…budak kan, normal lah kalau kenal tempat baru. Saya pandang dia…dan dia pandang saya dengan mata yang penuh ceria dengan dihadiahkan pulak senyuman ikhlas dari si anak kecil ni. Sambil saya berjalan dan berpandangan mata dengannya saya sempat mencuit dagunya dan mengusap rambutnya…lagilah nampak happy anak kecil ni.

Saya masuk ke office saya tiba-tiba terdengar perkataan yang agak kurang enak di dengar bagi saya dari mulut si nenek kepada anak kecil ini. Saya dah tak ingat nama anak kecil ni…tetapi yang saya ingat kata-kata nenek ni ialah “buas” atau lebih tepat dengan maksud “tidak duduk diam”atau lebih kepada bersifat “ganas”. Kata-kata si nenek yang saya sempat dengar dan mungkin juga antara kita yang selalu atau pernah menyebut perkataan ni…"aishhh….buas betullah budok ning, duduk gok diam!!!" Orang Terengganu okay…
 
Bagi saya, untuk anak yang sedang membesar kalau si anak ini tidak duduk diam dan sentiasa bergerak ke sana ke mari untuk melihat, mengenal dan belajar dari apa yang dia lihat adalah normal. Anak aktif tandanya sihat…betul tak??? Lebih baik dia belajar mengenali dunia di sekelilingnya daripada lebih mengenali dunia ipad, handphone atau tablet. Seawal usia ini kalau nak menegur pun janganlah gunakan cara penyampaian yang kasar.

Apa salahnya kita perhatikan dulu anak-anak kita yang sedang cuba belajar dari persekitarannya, dan seandainya dia ingin mengetahui sesuatu dekatkan diri kita dengannya dan cuba terangkan apa yang anak kecil ini ingin ketahui. Maksud saya secara slow talk…secara lembut berbahasa dengannya. Anak-anak memang cepat belajar…kalau di ajar secara lembut, insyaAllah…lembut jugalah layanannya kepada kita. Maksud lembut kat sini ialah adab kita okay, bukan lembut maknyah ke apa…hahaaa….dan begitulah juga sebaliknya. Kalau di ajar secara kasar, begitu jugalah yang akan dilakukan dan dibuat oleh si anak nanti. Ingat satu sahaja….kena ajarkan secara positif...bukannya negatif.

Apa yang saya selalu nampak bila si ibu menengking dan marah-marahkan anak secara kasar suaranya, anak akan cepat memberontak. Dan mula lah tidak mahu dengar dan fahami apa yang kita ajarkan atau nasihatkan. Bila anak buat silap…cuba fahami anak kenapa dia buat silap dan perbetulkan balik atau cuba terangkan balik apa yang si anak buat itu adalah salah. Ingatlah….anak itu amanah dari Allah.

Alhamdulillah, saya juga ada sepasang anak yang juga aktif sepertimana anak-anak lain. Saya selalu ingat akan kata-kata dari emak saya…"jagailah anak-anak dengan sebaik mungkin, kerana anak-anak adalah amanah Allah yang paling besar bagi kita sebagai ibu bapa. Dan setiap kelebihan dan kekurangan dalam menjaga amanah ini akan dihitung kelak.”

Sekadar berkongsi rasa dari saya dan satu peringatan juga untuk saya menjaga amanah ini sebaik mungkin, insyaAllah…dan mohon maaf juga dari saya andai ada yang tak kena atau terasa. Sekian, wassalam….

‪#‎buangyangkeruhambilyangjernih‬

Wednesday, 8 June 2016

Pulau Perhentian




Bila datangnya cuti persekolahan, macam-macam plan dan program yang akan dibuat kan?... Masa ni jugaklah ramai yang buat program kahwin. Ye lah, harapkan cuti sekolah je yang dapat semua ahli keluarga berkumpul kan?... Senang nak ambil cuti, takdelah terganggu dengan pembelajaran anak-anak. Dan masa ni jugaklah ada yang ambil kesempatan untuk bercuti. Betul tak???... tak ketinggalan jugak saya nih kalau bab jalan-jalan. Suka sangat-sangat kalau dapat merantau ke tempat-tempat yang belum pernah saya kunjungi. Rasa ingin kenal dan merasai suasana keindahan tempat-tempat menarik di Malaysia...ye lah Malaysia ajew kita ni. Nak ke luar negara bajet takde. Lain lah kalau ada orang nak belanja kos travel kan?... Heheee... Dah nak habis cuti sekolah baru boleh saya bercerita dan berkongsi pengalaman kat sini...huhuu... sibuk lah katakan. Okaylah...lupakan mukaddimah saya ni dulu. Jom saya kongsikan pengalaman saya ke Pulau Perhentian. Ini pun kebetulan aje saya follow orang yang ajak temankan diorang untuk bercuti. Kalau tak...tak tau lah saya bila agaknya saya boleh menjejakkan kaki ke Pulau Perhentian ni.

Menuju ke terminal pelepasan Jeti Kuala Besut
Saya bertolak dari Kuala Terengganu ke Jeti Besut lebih kurang pukul 9.00 pagi selepas sarapan pagi dan tiba di jeti lebih kurang pukul 10.30 lebih kurang...memang orang masa ni dah mula sibuk nak ambil tiket. Tapi nasib saya baik sebab saya pergi ni dengan kawan yang ada saudaranya yang menguruskan perkhidmatan chalet dan bot. Jadi sampai aje di jeti diorang dah datang pun sambut kita. So...takdelah menunggu lama.

Bot yang bawa saya ke Pulau Perhentian

Inilah bot yang saya naiki...boleh muatkan lebih kurang 10 hingga 15 orang macam tu lah. Saya ni agak-agak aje...bukannya tahu sangat selok belok bot ni. Tahu naik aje....hehee... Pengalaman pergi ni memang agak gerun jugaklah sebab masa ni laut agak bergelombang, mungkin disebabkan faktor angin. Agak mencabar jugaklah bagi saya masa ni sebab duk tengah-tengah laut kan...macam-macam duk fikir dalam kepala ni. Walaupun dah pakai life jacket perasaan takut dan bimbang tu tetap ada. Mungkin saya ni takutkan laut lebih dari daratan tapi tetap nak jugak ke pulau...hehehee... dan alhamdulillah, akhirnya selamat jugak sampai ke Pulau Perhentian.

Dalam perasaan takut dan bimbang pun masih sempat nak snap gambar....heheee...

Dah selamat tiba di pulau kami terus ke tempat penginapan kami. Tapi terpaksa tunggu lagi kat situ kerana sampai terlalu awal. Check in tempat penginapan kami pada pukul 1.00 tgh hari. So...kami duduk lah lepak-lepak sambil menikmati keindahan Pulau Perhentian ni. Memang ramai jugaklah pengunjung dalam dan luar negara yang datang ke sini. Kami menginap di Tropical Reef. Sebenarnya banyak jugak chalet kat sini. Kalau anda berminat nak berkunjung ke sini kena booking awal-awal. Sebab kebiasaannya tempat ni memang sentiasa penuh. Lebih-lebih lagi kalau musim cuti sekolah ni.

The Reef Reception

Inilah chalet kami

Inilah chalet kami....bilik yang kami menginap ni harganya RM 190.00 semalam. Ada katil queen + katil double decker + aircond + kipas...so kalau ambil 1 bilik ni boleh muat lebih kurang 4 - 5 orang. Kalau datang ramai-ramai dengan kawan bolehlah share kan...jimat skit.

Jom lihat gambar-gambar di sekitar Pulau Perhentian ni.


Anak pulau dan laut memang tidak boleh dipisahkan. Suka sangat-sangat tengok anak-anak ni bermain dan bergurau sesama sendiri.


Rasa tenang dan damai aje...jauh dari kebingitan hidup di bandar. Masa ni hanya dengar deruan ombak menghempas pantai aje sambil disusuli bunyi bot-bot yang sentiasa keluar masuk datang ke pulau ni. Memang sesuai sangatlah bagi mereka yang ingin berkarya.



Antara aktiviti wajib bagi pengunjung cilik ni....


Aktiviti kenu juga ada kat sini.


Bola pantai menjadi permainan anak-anak muda pulau ini. Melepaskan penat dan lelah setelah seharian menjalankan tugasan harian diorang. Memang penat jugak tengok cara diorang buat kerja. Ye lah...kalau nak dapatkan ais tu berulang-alik jugak diorang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar ni. Bila sebut pasal Pulau Perhentian Kecil, kat sana ada perkampungan bagi penduduk pulau ni. Ada juga beberapa tempat yang menyediakan perkhidmatan chalet.


Dah penat jalan-jalan dan ambil gambar kami singgah untuk minum petang di Mama's Chalet & Restaurant. Pakej yang kami ambil ni dari Mama's Chalet & Restaurant ni lah... Satu-satunya restoran anak melayu yang berada kat sini tau. Yang lain antaranya restoran masakan cina dan restoran masakan barat. Kalau nak berkunjung ke sini saya cadangkan guna pakej dari Mama's Chalet & Restaurant ni sebab diorang juga sediakan penginapan, restoran dan bot. Kami juga ambil pakej untuk round pulau.

Makan malam di Mama's Restaurant

Sebahagian lauk-pauk yang kami order


Just nak share tempat-tempat penginapan yang ada di Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil dan juga aktiviti snorkeling trips. Yang berminat nak bersnorkeling...boleh ajew berurusan dengan Mama's Chalet.

Awal pagi keesokannya kami sempat juga menyelinap masuk ke kawasan Coral View Resort dan Perhentian Island Resort. Memang cantik sangat-sangat tempatnya. Suasana romantik dan tenang memang sesuai bagi mereka yang ingin berbulan madu. Di Coral View Resort, kalau anda berjalan di pesisiran pantainya anda akan dapat lihat coral di kawasan berkenaan. Memang cantik sangat tapi kena pakai selipar...kalau berjalan kaki ayam boleh luka jugak kaki tu.

Coral

Pemandangan di pesisir pantai Coral View Resort


Dah penat bermain di kawasan coral kami pergi pula ke Perhentian Island Resort. Dalam kami berjalan-jalan saya terjumpa peninggalan coral ni di pesisir pantai Perhentian Island Resort. Mungkin anak-anak kecil yang bermain di sini dan tinggalkan coral ni. Pasir kat sini berbeza dan lebih bersih dan putih. Kawasan Coral View Resort agak berbatu dan berpasir kasar mungkin kerana dari batu-batu coral yang hancur dan pecah. 


Inilah jeti Pulau Perhentian... Tengoklah airnya, sejuk jew...rasa tenang kan?...sejuk ajew rasa pemandangan kat sini. Ni saya ambil gambar dari anak tangga dari Coral View Resort menuju ke sempadan Perhentian Island Resort.


Lebih kurang jam 11.00 pagi selepas sarapan pagi kitorang dibawa ke Taman Laut Pulau Perhentian. Tempat wajib yang perlu dilawati kalau dah ke pulau ni. Wahhhh!!!! tengok aje taman laut ni cantik sangat-sangat. Airnya yang biru, pasir pantai yang putih bersih...dan yang penting dapat snorkeling dan tengok ikan-ikan kecil bermain di pesisir pantai. Tak payah snorkeling pun takpe...duk bawah jambatan jew dah dapat tengok ikan-ikan kecil bermain dekat kita.

Ikan-ikan kecil yang comel lote ni bermain-main di kaki kami


Tugu Taman Laut Pulau Perhentian...memang tempat tarikan penyu di pulau ini tapi bukan di kawasan taman laut ni. Mungkin disebabkan kesibukan keluar masuk bot-bot pelancong dan bot-bot nelayan yang berlabuh dan berehat di sini mengganggu kedatangan penyu ke taman laut ni.



Selain taman laut yang kami pergi, kami juga dibawa pergi ke lokasi kawasan ikan jerung. Dan sesiapa yang berani nak bersnorkeling kat kawasan ikan jerung ni boleh aje. Tapi kami semua hanya melihat sesama sendiri...masing-masing tak berani nak turun...ye lah, dalam tu....lagi satu, ikan paling ganas kut...kalau takde kemahiran dalam selok belok hal ikan ni baik takyah merbahayakan diri. Sekali ngap!!! habisss!!!...hahaaa...

Lepas ke lokasi kawasan ikan jerung kami pergi ke kawasan terumbu karang yang berbentuk cendawan. Sekali lagi kami hanya memerhatikan sesama sendiri, masing-masing dah penat...dah letih dan dah lapar. So, kami teruskan ke lokasi seterusnya...iaitu...kawasan penyu bertelur!!!  Kat sini diorang just tunjukkan lokasi sahaja. Memang kawasan ni kami takleh nak masuk sebab kawasan peliharaan kan. Kalau tak, terganggu pulak habitat penyu kat sini...dan seterusnya kami dibawa terus ke tempat penyu bermain. Yesss!!! yang ni tak sabar...sebab semua nak tengok penyu. Mana pernah tengok penyu depan mata, dalam gambar aje...dan alhamdulillah, rezeki kami dapat lihat penyu bermain-main tenggelam timbul di permukaan air. Memang seronok sangat-sangat. Tapi, terkilan sebab tak sempat nak ambil gambar. Dah penat kami berpusing-pusing kat sini, akhirnya....kami balik ke chalet masing-masing.

Pagi keesokannya kami bertolak balik lebih kurang pukul 11.00 pagi...dalam perjalanan balik ni alhamdulillah, cuaca agak baik...gelombang pun tak kuat sangat dan syukur...kami selamat sampai di Jeti Kuala Besut.

Terminal ketibaan Jeti Kuala Besut


Inilah sebahagian dari cerita saya di Pulau Perhentian. Walaupun gambar-gambar yang saya kongsikan kat sini tak seperti fotografi yang profesional tapi semua ni meninggalkan seribu satu kenangan terindah buat saya sendiri. Terima kasih kerana sudi singgah dan baca kisah perjalanan saya ni dari awal hingga akhirnya....Sekian dari saya, wassalam...

Lokasi percutian : Pulau Perhentian
Tarikh : 31 Mei, 1-2 Jun 2016