Sunday, 22 September 2019

Hari Kedua Dan Ketiga Kami Di Bandaraya Melaka Bersejarah



HARI KEDUA KAMI DI MELAKA (31 Ogos 2019)

Hari seterusnya di pagi hari kami bergerak awal sebab nak pergi zoo. Dalam perjalanan kami nak pergi cari kedai makan untuk minum pagi dulu kami sempat melihat perarakan dari kenderaan tentera dan basikal tua.


Wowww...meriah kan perarakan sambutan Hari Kemerdekaan di Melaka.


Ini pula kumpulan pengayuh basikal tua.

******************************

Jom kita cari kedai untuk minum pagi....

KEDAI KOPI HJ HUSIN






Dah siap makan dan minum...perut pun dah kenyang. Jom kita pergi zoo!!!

******************************

ZOO MELAKA




Serius sampai waktu ni lebih kurang pukul 10-11 pagi tapi cuaca memang agak panas kat sini. Jadi anak-anak tak boleh nak bergambar sangat kat luar ni. Lagi satu...orang pun ramai juga. Masing-masing beratur nak ambil tiket masuk. Memang agak lama juga kami tunggu kat sini sebab lagi satu parking susah dan kalau bernasib baik dapat parking dekat-dekat je..tapi nasib kurang menyebelahi kami kali ni kami dapat parking jauh. Takpe lah nak...asalkan korang boleh masuk zoo. 


Ini namanya Makaw Kuning Biru


Yang ni pula Makaw Kuning Merah


Tengoklah tu...cantik sangat burung-burung ni. Kalau bukan kita yang jaga alam flora dan fauna siapa lagi kan.


Yang ni pula Gnu dan Badak Sumbu Putih


Ini namanya Tapir....ada yang tak kenal ke?


Wowww.....terujanya adik tengok zirafah.


Dah jadi model zoo lah pulak kak mia dan kak iman ni...macam-macam possing lah diorang ni...heheeee


Ini masa berikan unta ni makan. Beli makanan kat sini dan bagi makan kat unta-unta ni.


Ini pulak kura-kura..... heheheee


Aktiviti berkuda pun ada kat sini ye...


Haaaa...ni pak belang. Harimau Malaya...tapi kan, harimau ni nampak cam kurus je. Tak cukup makan ke apa....mungkin juga faktor usia kut. Dah tua agaknya.


Dah penat berjalan kami berehat seketika sambil minum air hilangkan dahaga. Nak masuk kat sini sebenarnya ada pilihan untuk anda yang tak nak berjalan kaki pusing melihat binatang-binatang kat sini dengan menaiki train. Tapi kami nak keluarkan peluh. Dan lagi satu kalau naik train tak boleh tengok binatang dengan lebih dekat kan. 



Ini di bahagian luar Zoo Melaka. Ada kedai-kedai cenderahati yang dapat anda beli kat sini sebagai kenang-kenangan.

******************************

PERIGI HANG TUAH

Melawat Zoo Melaka pun sudah..kami teruskan perjalanan kami ke Perigi Hang Tuah.



Sedikit sinopsis dari Perigi Hang Tuah. Perigi Hang Tuah ini terletak di Kampung Duyong, Melaka dan dikatakan digali sendiri oleh Hang Tuah. Pada asalnya perigi ini agak kecil tetapi lama kelamaan menjadi besar dan dalam. Perigi ini dikatakan tidak pernah kering walaupun di musim kemarau panjang. Perigi Hang Tuah telah diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.








Nak basuh muka, kaki boleh tapi lebih afdal ambil wuduk kan... Bukan kata tak boleh basuh muka atau basuh kaki tapi kena tengok pada niat kita lah kan...jangan pulak basuh muka sebab nak dapatkan aura cantik lah, awet muda lah atau apa-apa sahaja sebab benda-benda macam ni sebenarnya boleh membawa kepada syirik juga tau.


KISAH HANG TUAH

Ok...jom kita ketahui sedikit sebanyak kisah Hang Tuah ni.

● Kedua ibu bapa Hang Tuah iaitu Dang Merdu dan Hang Mahmud yang berasal dari Sungai Duyung sedang menjalankan aktiviti perniagaan makanan selepas berpindah ke Bentan. Sewaktu kecil Hang Tuah dihantar oleh bapanya belajar mengaji Quran dengan seorang lebai. Hang Tuah turut mempelajari pelbagai bahasa sehingga dapat menguasai 12 jenis bahasa termasuk bahasa Tamil, Cina dan Jawa. Hang Tuah sering membantu kedua orang tuanya berniaga di samping menjalankan kerja-kerja mencari kayu api. Setiap hari Hang Tuah membelah kayu di depan warung ayahnya.

● Sejak usia 10 tahun lagi Hang Tuah telah menunjukkan kelebihan dan keberaniannya. Hang Tuah bersama-sama sahabatnya telah berjaya mengalahkan lanun, berusaha pergi berburu dan menyelamatkan seorang pembesar negeri dari amukan orang mengamuk dengan menggunakan sebilah kapak. Keberanian Hang Tuah amat dikagumi jiran-jiran dan sahabatnya. Berita keberanian Hang Tuah dan sahabatnya menentang orang mengamuk sentiasa menjadi perbualan masyarakat kampung.

● Hang Tuah bersama empat sahabat karibnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu sedang berguru dengan Aria Putera di Bukit Pancasula. Mereka telah mempelajari pelbagai ilmu seperti ilmu isyarat hulubalang, ilmu firasat dan ilmu penjurit. Aria Putera berpendapat bahawa keupayaan Hang Tuah mengatasi sahabatnya yang lain. Justeru, beliau memberi tumpuan dan pengajaran yang lebih kepada Hang Tuah. Sebelum pulang ke kampung halaman, Aria Putera telah menasihatkan agar Hang Tuah dan empat sahabatnya menambah ilmu daripada saudaranya, Sang Persata Nala yang bertapa di Gunung Wirana, Majapahit.

● Ketika Bendahara berjalan diiringi pengawal dan pengiringnya telah datang empat orang yang mengamuk dan cuba membunuh Bendahara. Pengawal Bendahara telah lari menyelamatkan dirinya tanpa mempedulikan keselamatan Bendahara. Hang Tuah dan sahabatnya telah bertindak di hadapan Bendahara dan mencabar orang yang mengamuk dengan penuh keberanian. Bendahara amat hairan dengan keberanian Hang Tuah serta empat sahabatnya yang masih muda tetapi begitu berani dan gagah perkasa. Selepas kejadian tersebut Bendahara telah menjadikan Hang Tuah dan sahabatnya sebagai anak angkat dan diberikan persalinan yang indah. Berita tersebut telah sampai ke pengetahuan Sultan dan telah memerintahkan agar Bendahara melantik kelima-lima sahabat itu sebagai Biduanda.

● Selepas peristiwa tersebut Hang Tuah lima bersahabat terus berkhidmat dan memberikan sepenuh taat setia dan patuh kepada segala perintah Sultan. Hang Tuah telah dianugerahkan sebilah keris serta sangat dikasihi oleh Sultan serta mendapat kedudukan yang istimewa di istana Melaka.


Banyak sebenarnya kisah-kisah Hang Tuah ni sebenarnya. Kalau nak diceritakan kat sini memang takkan habis kisahnya...bersambung-sambung.

******************************

Kami pun dah lapar, jadi kami pergi cari tempat makan yang viral kat sini iaitu....

PERHENTIAN KUIH KAMPONG








Memang banyak sangat pilihan makanan kat sini. Dengan kuih muih, lauk pauk, ayam golek lagi...macam-macam pilihan lah kat sini. Orang pun memang ramai sebab pilihan yang pelbagai boleh ikut selera masing-masing nak makan apa. Jadi...pilihan ditangan anda.

Dah siap kami bersantap di sini, kami pulang ke hotel dulu untuk beristirehat sambil-sambil dah mula nak siap kemaskan barang-barang sebab esok dah nak balik.

Untuk makan malam kami pilih tempat di sini....

IKAN BAKAR PARAMESWARA




Kedai makan ni pun viral kat sini. Orang pun ramai sangat-sangat. Masa kami sampai meja penuh, takde yang kosong. Nasib baiklah ada seorang hamba Allah ni dengan keluarga dia baru siap makan...diorang ajak duduk terus kat meja. Mungkin sebab tengok kitorang dengan anak-anak lagi...heheee. 

Sebenarnya dah agak lewat kami sampai ke kedai ni lebih kurang pukul 10 lebih macam tu. Dan mungkin waktu kemuncak orang kat sini makan malam ditambah dengan pelancong luar.

******************************

HARI KETIGA KAMI DI MELAKA (1 September 2019)

Tibalah hari kami untuk pulang ke Terengganu.


Our Hero!!! Dah bersiap sedia untuk bergerak ke Terengganu....

Tapi.....sebelum balik Terengganu kami singgah beli ole-ole dulu buat kenang-kenangan dan sedikit buah tangan untuk keluarga dan sahabat di Terengganu.

Jadi kami singgah di sini....

MEDAN SAMUDERA BANDAR HILIR MELAKA




Banyak sangat pilihan kat sini jadi...ambil bakul masukkan je mana yang berkenan. Cencaluk dan dodol benda wajib kena beli kat sini...heheheee...biskut kelapa pun sedap.




Barangan kraftangan pun ada juga kat sini.


Berswafoto sekejap sambil menunggu anak-anak pilih cenderahati.

Dah membeli kami pun mula bertolak balik.

Destinasi terakhir kami, kami singgah solat zohor di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Bandar Satelit Muadzam Shah dan di Masjid Paka untuk solat Maghrib. Kami makan malam dulu di kedai makan kawasan Paka dan lebih kurang pukul 9 hingga 10 malam baru kami selamat sampai ke rumah.
Alhamdulillah....


Sebenarnya banyak lagi tempat-tempat menarik yang kami belum sempat pergi dan inshaAllah, kami ingin ke Melaka lagi sekiranya ada rezeki kami ke sana.


MELAKA!!! NANTI KAMI DATANG LAGI YE!!!


Hari Pertama Kami Di Bandaraya Melaka Bersejarah


 
HARI PERTAMA KAMI DI MELAKA (30 Ogos 2019)
 
Alhamdulillah....rezeki kami kali ini dapat bertandang ke negeri Melaka iaitu Bandaraya Melaka Bersejarah selama 3 hari 2 malam iaitu dari 29 hingga 31 Ogos dan 1 September 2019
 
Kami bergerak ke Melaka pada malam 29 Ogos iaitu lebih kurang pukul 11 malam. Kami sampai di Melaka lebih kurang pukul 5.30 pagi macam tu...kami berhenti rehat sekejap dan terus solat subuh di sebuah masjid (tak sempat nak tengok nama masjid yang kami singgah)
 
Seusai sahaja solat subuh kami terus masuk ke Bandaraya Melaka. Waktu pagi jalan nak masuk ke bandar agak sibuk sebab 30 Ogos hari Jumaat orang Melaka masih bekerja dan bersekolah. Jadi...boleh nampak kesibukan masing-masing yang mana nak pergi sekolah yang mana nak pergi kerja. Kami agak kepenatan dan bercampur dengan perut yang lapar. Kami ambil keputusan untuk cari tempat makan dan rehat dulu.
 
******************************
 
Jadi...kami singgah minum pagi di sini.... 
 
ROTI CANAI KAYU ARANG

Bagi saya roti canai sama saja sepertimana roti canai yang lain cumanya yang menjadi viral kat sini sebab roti canai ini dimasak dan dicanai atas api kayu arang.
 

Anak panah yang menunjukkan arah kedai makan Roti Canai Kayu Arang



Kedai kat sini memang tak gunakan gas memasak pun, hanya menggunakan arang sahaja untuk membakar roti canai.


Kedai makan ni memang ramai peminatnya...kami datang kat sini dah awal dalam pukul 8.30 camtu tapi tempat duduk...fuhhh..penuh. Nasib ada meja yang ni...kalau tak memang terpaksa menunggu lah jawabnya.


Ini menu yang saya makan...sedap rotinya lembut dan garing...nyum..nyummm. Bab kuahnya bagi saya agak pedas sikit dari yang biasa saya makan di terengganu tapi sedap. Puas hati makan...alhamdulillah. Menu makanan kat sini pun banyak jugak. Mungkin sebab pilihan banyak orang ramai datang makan kat sini. 

******************************

Ok...next destinasi kami masuk semula ke Bandaraya Melaka Bersejarah.



Alhamdulillah....rezeki kami di tahun 2019 dapat jalan-jalan bawa family ke Melaka


Lakaran gambar ni menceritakan sejarah nama Melaka. Nak ke saya cerita kat sini? 

Okay..saya kongsi dari sumber Sejarah Melayu 

● Asal usul nama Melaka berkait rapat dengan pelanduk dan pokok Melaka.
● Menurut Sejarah Melayu, semasa Parameswara sedang berehat di bawah pokok Melaka, Parameswara telah melihat peristiwa pelanduk menendang anjing perburuannya.
● Peristiwa itu dianggap luar biasa kerana pelanduk yang kecil dapat mengalahkan anjing.
● Oleh itu, Parameswara memilih tempat tersebut untuk mendirikan kerajaan.
● Parameswara menamakan tempat tersebut sebagai Melaka sempena nama pokok Melaka tempat beliau berehat.

Ini pula dari sumber Istilah Arab

● Melaka telah lama menjadi tumpuan pedagang-pedagang Arab.
● Pedagang-pedagang Arab telah memanggil Melaka dengan beberapa istilah :
* Mulaqah bermaksud "pertemuan".
* Malakat bermaksud "perhimpunan segala dagang".
● Istilah-istilah tersebut sememangnya sesuai memandangkan kemajuan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang dikunjungi oleh saudagar daripada pelbagai negara.

******************************

BASTION MIDDLEBURG

Gambar yang saya tunjuk di bawah ini ialah menara kawalan yang dibina oleh pihak Belanda bagi mengawal persekitaran muara Sungai Melaka yang sibuk dengan aktiviti perkapalan dan perdagangan pada ketika itu yang dibina pada tahun 1660.

Terdapat 9 buah bastion yang dibina sebagai menara kawalan di Kota Melaka ini. 

Dengan adanya 9 bastion ini yang menempatkan meriam-meriam dengan kawalan tentera mampu melemahkan ancaman luar yang semakin bertambah dari semasa ke semasa pada ketika itu.


Bastion Middleburg dari pandangan bawah. Betul-betul di hadapan Muara Sungai Melaka.



Sempat juga kami bergambar kenangan dari atas Bastion Middleburg.

******************************

Seterusnya kami ke.....

MENARA JAM TAN BENG SWEE


Ini dia Menara Jam Tan Beng Swee yang dibina di bangunan  Stadhuys pada tahun 1886 oleh Tan Jiak Kim yang berasal dari Singapura sebagai kenangan kepada ayahnya yang bernama Tan Beng Swee. 


Bersebelahan atau berhadapan Menara Jam Tan Beng Swee terdapat Air Pancut Ratu Victoria yang dibina pada tahun 1904 kononnya sebagai persembahan rakyat Melaka kepada Ratu Victoria Regina yang memerintah pada 1837 - 1901


Eih..eihhh...ada patung emas hidup lah kat depan Air Pancut Ratu Victoria...heheee. Patung emas hidup ni hanya gimik dan nak meriahkan lagi suasana kat negeri Melaka ni. Nak bergambar dengan dia bayar lah seikhlas hati. Boleh buat kenang-kenangan...heheheee.


Haaaa...tengok ni. Alang-alang dah datang tu ambillah gambar kan. Bukannya susah pun. Camera phone kan ada....just snap pic aje leee...tp bayar okay...hahaa.

******************************

Okay...next kami ke...

BANGUNAN STADTHUYS


Anda nampak kan bersebelahan Menara Jam Tan Beng Swee ada bangunan yang tertera nama Stadthuys kan? 

Sebenarnya STADTHUYS ini adalah dari bahasa Belanda yang bermaksud "dewan bandaraya". Bangunan ini bersebelahan dengan Gereja Christ di Jalan Laksamana dan dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor. Struktur bangunan ini juga melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus.

The Stadthuys adalah sebuah kompleks besar-besaran. Dalam bangunan ini mempunyai 2 tingkat dan ia adalah 30 meter lebar. Selain menjadi rumah gabenor, Stadthuys juga termasuk Pejabat Setiausaha-kanak, bilik sembahyang, ruang makan, sebuah rumah tetamu, rumah hamba, rumah Ketua Merchant, penjara, pejabat perdagangan, gudang, halaman dan bakeri yang terpisah atau dipisahkan.



Di bahagian luar, terdapat langkan batu yang membawa kepada dwi tangga seterusnya ke balkoni kecil yang juga boleh diakses melalui pintu di tingkat pertama.

Semasa pemerintahan Belanda di Melaka, Stadthuys, seperti semua bangunan pentadbiran Belanda yang lain di Asia Tenggara, ianya dicat putih. Melalui perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824, Melaka telah diserahkan oleh Belanda dan bandar tersebut menjadi tanah jajahan British. Pada tahun 1911, British mengecat bangunan Stadthuys dan Gereja Christ dengan warna merah salmon. Sebab-sebab sebenar mengapa bangunan ini telah dicat merah oleh British kini hilang ditelan zaman tetapi legenda dan teori-teori berkaitannya masih banyak.







Sememangnya Melaka juga terkenal dengan kereta lembu tetapi kini tidak lagi. Mungkin kerana ingin menjaga kebersihan persekitaran dan hanya menempatkan dan menghadkan penggunaan atau pameran kereta lembu di tempat-tempat yang bersesuaian agaknya. Sebab sepanjang saya berada di Melaka saya tidak dapat melihat kereta lembu.


Sepertimana gambar yang anda dapat lihat di atas, kini Melaka terkenal dengan beca Melaka yang pelbagai rupa dan warna. Pilihan di tangan anda. Kalau anda mahu menghayati panorama Bandar Melaka, beca ini akan membawa anda melalui jalan-jalan dan lorong-lorong di pusat bandar bersejarah ini. Beca ini boleh disewa mengikut jam ataupun mengikut jarak perjalanan dan ia berpengkalan di Bangunan Stadthuys.

Kreatif kan orang Melaka ni. Beca ni ada yang tema baby shark, doraemon, hello kitty, minions, ultraman, spiderman...macam-macam lagi lah. Warna-warni pulak tu. Boleh pilih nak naik yang mana satu. 

******************************

Okay...jom kita ke tempat seterusnya

KOTA A FAMOSA


Untuk ke A Famosa kena melalui anak tangga ni. Bila sampai ke atas anda akan nampak runtuhan gereja St Paul. 


Inilah runtuhan gereja St Paul. Menara gereja yang dibina oleh Portugis telah dimusnahkan pada tahun 1745 tetapi temboknya diperkuat dan dijadikan sebagai kubu pertahanan. Sebuah bangunan baru lengkap dengan menara dibina di hadapan gereja ini dan dijadikan sebagai sebuah rumah api tetapi dipisahkan pada tahun 1934. Gereja ini juga menjadi tanah perkuburan pembesar-pembesar Portugis dan Belanda. Batu-batu peringatan yang tersandar di dindingnya diambil dari lantai.

Semasa pemerintahan British, gereja ini dijadikan sebagai gudang menyimpan peluru untuk menyerang Jawa dari tahun 1810-1811. British juga pernah mendirikan tiang bendera yang tinggi dan menukar nama bukit ini kepada Bukit Bendera. Namun demikian, nama tersebut tidak kekal dan tiang benderanya diturunkan semula. Semenjak itu bangunan gereja ini terbiar musnah. Runtuhan gereja ini telah dipulihkan semula dalam bentuk sedia ada dan kini menjadi tumpuan utama pelancong di negeri Melaka.









Inilah tanah perkuburan pembesar-pembesar Portugis dan Belanda.

Untuk pergi ke A'Famosa kita perlu turun ke bahagian bawah sini. Cantik kan pemandangan kat sini.


Kalau anda dapat lihat di sebelah kiri dalam gambar ni terdapat penjual-penjual lukisan untuk dijadikan cenderahati yang sangat cantik hasil seninya. 


Haaaa....inilah dia A Famosa. 


Kota A Famosa bermaksud "Yang Termasyhur" dalam bahasa Portugis dan telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.


Ini pula adalah Pintu Santiago (Porta de Santiago) yang masih terpelihara.

Gambar di bawah ini ruangan dalaman dari Pintu Santiago.




Gambar di bawah ini pula dari luaran Kota A Famosa yang terdapat meriam di kiri kanan setiap seni bina yang didirikan bagi menangkis serangan musuh.




Dah penat berjalan kami gerak nak balik ke Bangunan Stadthuys untuk lepak-lepak kat sana pula. 

Tapi kan....dah lah kami berjalan di tempat yang penuh bersejarah, bulan Ogos pula sejarah besar buat negara kita Malaysia kerana merdeka tanggal 31 Ogos 1957. Di sini juga meninggalkan sejarah dan kenangan terindah juga buat kami sekeluarga. Kerana apa ya??? Kerana  Kak Mia telah berjaya untuk menyanyikan lagu Negaraku di depan orang ramai. Ini semua spontan je berlaku sebab kami sedang menuruni ke bawah dan dalam perjalanan tu kami disapa oleh satu kumpulan yang sedang mengagihkan bendera Malaysia dan meminta Kak Mia untuk nyanyikan lagu Negaraku di depan mereka semua. Hadiah akan diberikan bagi yang berjaya habiskan tugasan ini.

Dan alhamdulillah, Kak Mia berjaya juga nyanyikan lagu Negaraku walaupun malu pada awalnya tapi tetap juga menyanyi sampai habis. Akhirnya Kak Mia dapat hadiah dari Petronas (1 kad Petronas bernilai RM30 yang boleh ditebus dengan minyak ataupun melalui belian di Mesra Petronas) dan juga hamper makanan dari Mamee. 

Kenangan terindah buat Kak Mia sebenarnya.




Alhamdulillah...rezeki Kak Mia hari ni. 

******************************

CENDOL JAM BESAR

So...kami teruskan perjalanan kami. Kami dah penat jalan dan tekak pun dah dahaga dan perut pun dah mula lapar, kami buat keputusan untuk pergi minum Cendol Jam Besar kat depan sana.










Sementara tunggu kawan datang kami makan cendol durian dulu. Buat alas perut dulu.

Dalam tempoh menunggu kawan datang sempat lagi kami masuk ke kedai Melaka Chocolate House ni. Banyak juga coklat-coklat yang dijual di sini. Kebanyakannya berperisa durian. Dan coklat berperisa lain pun ada juga.






Haaaa...kan dah dapat hasilnya tu. Cukuplah 1 bungkus untuk bekalan balik nanti kan. Tapi ni bukan berkira okay...ni sebab adik Kak Mia tak boleh nak makan-makan lagi coklat ni. Nanti tengok Kak Mia makan mesti nak juga.

********************************

Kawan pun dah sampai dan waktu makan tengah hari pun dah masuk waktunya jadi...kami bergerak ke kedai makan untuk makan nasi...yessss!!! Perut lapar kan...hahaaa..

Jadi kami ke jalan-jalan cari makan di....

ASAM PEDAS LAGENDA






Asam pedas dia memang wowwwww....sedap sangat-sangat. Kalau ikutkan hati nak je mai datang kedai ni lagi tapi masa tak mengizinkan....inshaAllah, ada rezeki kami datang ke Melaka lagi kami singgah lagi ye.

******************************

MAHKOTA HOTEL MELAKA

Dah siap makan semua baru lah kami check in di Mahkota Hotel Melaka. Di sinilah kami menginap selama 3 hari 2 malam.




Aktiviti di petang hari. Tunaikan hajat anak-anak nak mandi.

******************************

MELAKA RIVER CRUISE

Aktiviti malam, kami teruskan ke Dataran Stadthuys. Kami berbelah bagi sama ada nak naik beca atau naik bot. Akhirnya anak-anak yang buat keputusan nak naik bot...jadi kami turutkan sahaja kehendak anak-anak kami.


Sempat lagi Kak Mia bergaya dengan beca. 


Siap sedia ke destinasi seterusnya....


Dah sampai kami di Melaka River Cruise. 


Tengok tu..khusyuk bukan main lagi tengok suasana harmoni di malam hari.


Untuk kenang-kenangan....

******************************

Sekarang kami mencari kedai makan untuk santapan malam kami. 

IKAN BAKAR MUARA SG MELAKA


Kami singgah kat sini je untuk makan malam.


Anak pun dah ketiduran...saya sendiri pun dah kepenatan. Sekarang ni hanya nampak bantal je....nak tidur!!!! 

Ngantukkkk + penatttt = tidur lah kan???


Kak Mia dengan Abang pun dah kepenatan juga. Tapi disebabkan lapar nak makan diorang tetap sabar menunggu. 

******************************

Ini baru cerita hari pertama kami kat Melaka ni. Nak tau apa cerita kami di hari kedua dan ketiga boleh klik di sini. Hari Kedua Dan Ketiga Kami Di Bandaraya Melaka Bersejarah